20 TIPS UNTUK IBU BAPA YANG TERBANG BERSAMA BAYI/ANAK KECIL



Bagi ibubapa yang pernah menaiki kapal terbang bersama bayi dan anak kecil, pasti adakalanya berlaku kejadian yang tidak dijangka dan mungkin menyebabkan penumpang lain turut terkesan. Mungkin beberapa tips daripada ibubapa lain di bawah boleh digunakan semasa menaiki pesawat dan memudahkan anda.

1. Sebelum penerbangan berlepas dan mendarat, ibu bapa disarankan supayamemberikan anak minum susu ( menyusu badan ataupun dari botol ) terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah tekanan terutamanya pada telinga anak. ( Tips dari Syap Pika )

2. Jika masa penerbangan anda lama, anda boleh membawa sekali permainan anak anda supaya anak anda tidak cepat bosan. ( Tips dari Puan Ameera )

3. Jika bayi anda masih menyusu badan, anda boleh memeluk bayi anda semasa dia menyusu kerana itu membolehkan bayi anda tidur dan berasa selesa. ( Tips dari Puan Norhazwani )

4. Cuba daftar masuk penerbangan dengan lebih awal supaya tidak kelam kabut. Kemudian semasa kapal terbang hendak mendarat, beri anak anda hisap pacifier supaya telinga mereka tidak berdengung ( kerana tekanan ) dan sudah tentu pramugari boleh membantu anda jika ada apa-apa masalah. ( Tips dari Sha Shahira Rosli )

5. Bawa selimut lebih untuk anak-anak anda dan gunakan baby carrier ( Ergo, Boba ) untuk memudahkan anda mengangkat barang yang lain dan menyelesaikan hal sebelum berlepas ( pas masuk dan sebagainya ). ( Tips dari Puan Nurul Haizum )

6. Jika bayi anda boleh makan makanan pepejal/lembut, jangan lupa bawa makanan bayi dari botol yang boleh dibeli di pasaraya. Bawa juga kudapan untuk anak-anak anda atau beli sahaja semasa berada di dalam penerbangan. ( Tips dari Puan Nurul Haizum )

7. Bawa pakaian lebih untuk anak-anak anda dan juga baby wipes/tuala kecil. ( Tips dari Puan Nurul Haizum )

Sumber gambar : www.airliners.net

8. Dapatkan tempat duduk yang mempunyai ruang baby bassinet. ( Tips dari Puan Nurul Haizum )

9. Penggunaan gajet pada masa kini memudahkan ibu bapa bersama anak semasa di dalam penerbangan. Muat turun aplikasi menarik ataupun video hiburan yang sesuai supaya anak anda tidak bosan. Tetapi anda perlu pastikan ia tidak mengganggu penumpang lain ( elakkan bising ) ( Tips dari Puan Nurul Haizum )

10. Sekali sekala bawa bayi/ anak anda berjalan di dalam penerbangan ( pastikan isyarat duduk dipadamkan terlebih dahulu ) supaya anak anda lebih segar dan tidak penat.

11. Anda juga boleh memilih masa penerbangan sama dengan masa bayi dan anak-anak anda tidur. ( Encik Faiz Azizi ) Penerbangan malam baik untuk perjalanan jarak jauh. Cari penerbangan yang tidak akan mengganggu rutin bayi anda.

12. Jika anda menaiki kapal terbang dengan bayi, pastinya bedung merupakan salah satu tips terbaik untuk memastikan bayi anda selesa di dalam perjalanan ( Puan Nor Zill )

13. Jika ibu terbang bersama bayi tanpa kehadiran suami, anda boleh meminta bantuan pramugari/pramugara untuk membantu anda membawa bagasi, daftar masuk dan menaiki perkhidmatan buggy.

14. Elakkan membawa barang berharga ataupun simpan barang berharga di tempat selamat jika anda terbang bersama anak kecil. Ini supaya anda tidak leka dan tertinggal barang apabila sibuk menguruskan anak di dalam penerbangan.

15. Jika anda mampu, anda boleh membeli atau memilih tempat duduk yang mempunyai ruang kaki tambahan supaya anak-anak anda lebih selesa. Penerbangan masa kini memberikan anda pilihan tempat duduk yang lebih selesa untuk mereka yang sudah berkeluarga. Bagi anda yang tidak tahu, kanak-kanak dibenarkan untuk duduk di atas riba ibubapa sehingga mereka berusia dua tahun. Tetapi anda disarankan untuk menempah tempat duduk buat anak anda jika mereka berusia 2 tahun ke atas jika penerbangan itu mengambil masa yang lama. Dengan cara itu mereka boleh duduk di tempat duduk mereka sendiri, bermain dengan permainan mereka, dan jika anda bernasib baik, mereka boleh tidur sebentar dengan selesa.

16. Selalu periksa lampin bayi dan tukar jika tiba masa di ruang penukaran lampin. Kapal terbang terkini mempunyai ruang khas untuk ibu bapa menguruskan anak-anak. Jangan biarkan anak anda tidak selesa.

17. Jika penerbangan tidak penuh, minta jasa baik pramugari/pramugara menukar tempat duduk anda ke tempat yang lebih luas ataupun yang kosong. Ada penerbangan yang membenarkan penumpang menukar tempat duduk suka sama suka atau dengan kebenaran krew kabin.

18. Bagi yang tidak mempunyai anak pula, cuba untuk memahami situasi yang tidak dijangka ibubapa yang mempunyai anak kecil. ( Puan Ida Haryani )

19. Maaf. Mungkin ada penumpang yang memahami situasi ibubapa yang mengembara bersama anak kecil, tetapi ibu bapa juga harus ringan mulut untuk meminta maaf pada penumpang lain jika itu membuatkan mereka tidak selesa. Kadang-kadang sikap acuh tak acuh dan expect semua orang fahami situasi mereka mungkin menyebabkan ada yang kena ‘jeling’. Pokoknya belajar bertoleransi.


20.Pilih syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang mesra kanak-kanak. Anda boleh mempunyai pengalaman yang baik, atau tidak baik, di mana-mana syarikat penerbangan. Ia bergantung kepada bagaimana anak kapal mengendalikan penerbangan ataupun elakkan terbang di waktu puncak. Terdapat beberapa syarikat penerbangan yang mempunyai reputasi yang baik secara keseluruhan dan yang paling mesra kanak-kanak dan kebanyakkannya adalah syarikat penerbangan Asia. Banyak lapangan terbang menyediakan kemudahan permainan untuk kanak-kanak dan ruang menukar lampin dan menguruskan anak kecil serta bayi.

0 Response to "20 TIPS UNTUK IBU BAPA YANG TERBANG BERSAMA BAYI/ANAK KECIL"

Post a Comment