Terowong SMART





Air melimpahi Terowong SMART petang semalam. Selalunya jika paras air dah melebihi tahap tertentu, terowong ini akan ditutup dari laluan umum. Tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Penerangan...

  1. Apakah maksud SMART? 
    SMART merupakan singkatan kepada Terowong Pengurusan Banjir dan Jalan Raya (Stormwater Management and Road Tunnel). Ia merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia. Panjang terowong tersebut adalah sepanjang 9.7 kilometer termasuk laluan untuk kenderaan sepanjang 3.0 kilometer dengan diameter dalaman 11.8m.

  2. Apakah tujuan terowong SMART dibina?
    Fungsi utama terowong ini adalah untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan pusat bandaraya Kuala Lumpur terutama di kawasan Sg. Klang di Masjid Jamek dan Jalan Tun Perak. Melalui kaedah ini, air larian banjir di hulu Sg. Klang akan dilencongkan ke kolam tadahan Kampung Berembang agar tidak melalui pusat bandaraya.

    Selain itu, sebahagian terowong ini pula digunakan sebagai laluan alternatif trafik untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di antara pintu masuk ke Kuala Lumpur dari selatan berdekatan dengan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan Bulatan Kampung Pandan.

  3. Mengapakah terowong SMART perlu dibina dalam menangani masalah banjir dan kesesakan lalulintas di pusat bandaraya Kuala Lumpur?
    Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, masalah banjir di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur telah menjadi semakin kerap dan bertambah serius. Dalam tempoh sedekad ini sejumlah 6 kejadian banjir besar telah berlaku iaitu pada 30 April 2000, 26 April 2001, 29 Oktober 2001, 11 Jun 2002, 10 Jun 2003 dan 10 Jun 2007. Kejadian banjir tersebut telah mengakibatkan kerosakan teruk harta benda, kehilangan nyawa, gangguan lalulintas, menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi dan menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.

    Antara sebab-sebab berlakunya banjir di pusat bandaraya Kuala Lumpur adalah disebabkan :-
    • Pembangunan yang pesat dan kurang kawalan dalam kawasan tadahan.
    • Halangan-halangan dalam sistem aliran sungai yang mengurangkan keupayaan pengaliran air.
    • Kawasan yang terhad untuk kerja-kerja menaiktaraf sungai bagi menampung peningkatan aliran banjir berikutan proses perbandaran yang semakin pesat.
    Memandangkan pembangunan di kawasan tadahan Sungai Klang telah jauh melebihi unjuran yang diramalkan dalam peringkat perancangan asal program tebatan banjir, keupayaan saluran Sungai Klang sediada tidak lagi mampu untuk menampung aliran banjir yang berlebihan. Setelah mengambilkira halangan-halangan dalam saluran sungai serta koridor sungai yang sempit, terowong SMART dilihat sebagai satu alternatif terbaik bagi mengatasi masalah banjir kilat di Pusat bandaraya Kuala Lumpur di samping sistem penyuraian laluan trafik sebagai manfaat tambahan.

  4. Bagaimanakah pendekatan pelaksanaan yang dibuat oleh terowong SMART dalam menangani masalah banjir dan kesesakan lalulintas?
    Terowong SMART sepanjang 9.7 km dikendalikan 24 jam seminggu oleh JPS di Pusat Kawalan SMART (SMART SCC) di Kampung Berembang, Ampang manakala laluan trafik sepanjang 3 km dikendalikan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd (SMABT) selaku syarikat konsesi di Pusat Kawalan Trafik (SMART MCC) di Bulatan Kampung Pandan.

    Operasi SMART mempunyai 4 mod (tahap) seperti berikut :-
    • Mod 1 : · Semasa cuaca baik atau hujan turun tidak lebat, terowong trafik dibuka untuk laluan trafik masuk dan keluar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.
    • Mod 2 : · Berlaku apabila hujan turun dan kadaralir di stesen hidrologi yang terletak di pertemuan Sg. Klang/Sg. Ampang (L4) mencatatkan 70 m3/s – 150 m3/s. · Sebanyak 50 m3/s sahaja akan memasuki Sg. Klang dan dialirkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur manakala air banjir lebihan akan disalur masuk ke kolam takungan SMART Kampung Berembang yang seterusnya akan dilencongkan ke kolam takungan Taman Desa menggunakan bahagian bawah terowong. · Terowong trafik masih dibuka untuk laluan trafik.
    • Mod 3 : · Berlaku apabila hujan lebat turun dan model ramalan banjir meramalkan kadaralir di L4 melebihi 150 m3/s. · Sebanyak 10 m3/s sahaja akan memasuki Sg. Klang dan dialirkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur manakala air banjir lebihan akan disalur masuk ke kolam takungan SMART Kampung Berembang yang seterusnya akan dilencongkan ke kolam takungan Taman Desa menggunakan terowong trafik. · Terowong akan dikosongkan daripada kenderaan. · Sekiranya hujan lebat yang turun tidak lama atau atas sebab teknikal lain yang tertentu, air banjir tidak akan disalurkan ke dalam terowong trafik dan hanya bahagian bawah terowong sahaja akan digunakan. · Terowong akan dibuka semula kepada laluan trafik selepas 2 – 8 jam ditutup.
    • Mod 4 : · Berlaku selepas 1 – 2 jam amaran Mod 3 dikeluarkan dan hujan lebat masih berterusan. · Terowong trafik akan digunakan untuk laluan air banjir dan akan dibuka semula selepas 4 hari ditutup.
    Apabila hujan turun, Sistem Pengesanan Banjir di SMART SCC akan memantau, membuat ramalan banjir dan seterusnya menentukan mod operasi samada Mod 1, Mod 2, Mod 3 atau Mod 4, berdasarkan data-data hujan, aras air dan kadaralir yang diterima daripada 28 stesen hidrologi yang terletak di sekitar kawasan tadahan Sg. Klang.

  5. Apakah tahap keberkesanan terowong SMART dalam mengatasi masalah banjir kilat di pusat bandaraya?
    Terowong SMART bukanlah penyelesaian sepenuhnya terhadap masalah banjir kilat di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan ia hanyalah hanya sebahagian sahaja daripada langkah JPS bagi mengatasi masalah banjir kilat di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, sejak Terowong SMART beroperasi mulai Julai 2007, kawasan sasaran di pusat bandaraya Kuala Lumpur ( sekitar Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Dataran Merdeka, Kampung Baru, Jalan Munshi Abdullah, Kompleks Mahkamah Lama, Jalan Melaka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan kawasan rendah di sekitarnya ) tidak lagi mengalami banjir kilat akibat limpahan air Sungai Klang.

    Terowong SMART telah berjaya melencongkan air banjir dari bahagian hulu Sg. Klang di Kampung Berembang sebanyak lebih daripada 70 kali ( sehingga 27 April 2009). Dalam tempoh ini, sekurang-kurangnya 5 kejadian hujan lebat ( 21 Mei 2008, 30 Mei 2008, 4 September 2008, 3 Mac 2009 dan 13 Mac 2009) telah berlaku di mana SMART telah berjaya menyelamatkan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur daripada banjir dan mengelakkan kerugian berbilion ringgit akibat kerosakan dan kemusnahan harta benda awam seperti yang sering berlaku apabila banjir kilat melanda Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

  6. Apakah kawasan-kawasan yang akan terlibat dengan banjir sekiranya terowong SMART tidak berfungsi?
    Terowong SMART boleh menampung lebihan air banjir sehingga satu juta meter padu dengan kapasiti maksimum kadar alir 280 m3/s. Di hulu terowong tersebut terdapat 10 hektar Kolam Takungan Kg. Berembang yang boleh menyimpan lebihan air banjir sehingga 600,000 meter padu manakala di hujung yang satu lagi terdapat Kolam Takungan Tmn. Desa berkeluasan 22 hektar yang boleh menampung sehingga 1.4 juta meter padu air banjir. Secara keseluruhannya, terowong dan dua kolam takungan tersebut boleh menyimpan lebihan air banjir sehingga 3 juta meter padu, jumlah yang sama untuk mengisi 1,200 buah kolam renang bersaiz Olympik.

    Sekiranya terowong SMART tidak berfungsi dalam melencongkan air banjir lebihan setelah mencapai kapasiti maksimumnya, kawasan-kawasan yang akan dilanda banjir kilat adalah sekitar Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Dataran Merdeka, Kampung Baru, Jalan Munshi Abdullah, Kompleks Mahkamah Lama, Jalan Melaka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan kawasan rendah di sekitarnya.

  7. Apakah ciri-ciri yang keselamatan yang boleh dijamin oleh terowong SMART untuk pengguna?
    Pengurusan operasi terowong SMART dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Banjir yang dikendalikan 24 jam seminggu oleh Pusat Kawalan SMART (SMART SCC), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. Sistem Pengesanan Banjir ini mempunyai komponen model hidrologi dan hidraulik yang dapat memberikan ramalan dan amaran awal kemungkinan kejadian banjir berlaku berdasarkan data hujan dan aras air yang diterima secara real-time daripada 28 stesen telemetri hidrologi. SMART SCC juga memastikan kedudukan pintu-pintu kawalan air di dalam terowong sentiasa tertutup yang dapat dipantau melalui kawalan sistem SCADA.

    Selain daripada itu, terowong SMART juga dilengkapi dengan 220 buah kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau sebarang kejadian kecemasan di dalam terowong yang dikendalikan oleh Motorway Control Centre (SMART MCC). CCTV ini akan terus memberi isyarat ke SMART MCC sekiranya terdapat sebarang kejadian tidak diingini dan peronda SMART akan datang memberikan bantuan.

    Sekiranya Mod 3 berlaku, peronda SMART akan membuat rondaan terlebih dahulu untuk memastikan terowong benar-benar kosong sebelum air banjir dialirkan ke dalam terowong trafik.

    Ciri keselamatan lain yang terdapat di dalam terowong tersebut adalah :
    • Terdapat automated twin water-tight flood control gate di kedua-dua belah hujung terowong.
    • Terdapat empat bangunan menempatkan ruang pengudaraan (ventilation shaft) yang terletak dalam jarak 1 km antara satu sama lain untuk memastikan berlaku proses pengaliran udara di dalam terowong untuk mengekalkan kualiti udara di dalamnya.
    • Ruang pengudaraan tersebut juga berfungsi sebagai tangga untuk keluar daripada terowong SMART.
    • Ruang keluar pejalan kaki dan pintu keluar kecemasan disediakan di setiap 250 meter di sepanjang terowong.
    • Terdapat pintu asap (smoke doors) untuk memastikan persekitaran tanpa asap dalam terowong.
    • Peralatan kawalan kebakaran, telekomunikasi dan pengawasan terdapat di setiap 1 km di dalam terowong tersebut.
    • Isyarat telefon bimbit dan FM radio boleh diterima di sepanjang terowong.
    • Sekiranya berlaku kecemasan, pengumuman akan dikeluarkan melalui pintasan stesen radio.

  8. Mengapa masih terdapat tempat-tempat di pusat bandaraya Kuala Lumpur yang tetap menghadapi masalah banjir walaupun terowong SMART telah berfungsi?
    Terdapat dua lembangan utama di Kuala Lumpur iaitu Lembangan Sg. Klang dan Lembangan Sg. Gombak yang kesemuanya mengalir ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Terowong SMART hanya mewakili lembangan Sg. Klang di bahagian timur Kuala Lumpur sahaja. Sehubungan dengan itu, terowong SMART hanya sebahagian sahaja daripada langkah JPS bagi mengatasi masalah banjir kilat di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan ia merupakan satu komponen penting daripada keseluruhan Sistem Tebatan Banjir Kuala Lumpur. Pihak JPS juga dalam usaha menyiapkan sebuah lagi kolam takungan air banjir di bawah Projek Tebatan Banjir Kolam Takungan Batu-Jinjang iaitu Kolam Takungan Jinjang bagi lencongan Sg. Keroh dan Sg. Jinjang yang mewakili Sg. Gombak.

    Selain daripada itu, banjir setempat boleh juga berlaku sekiranya sistem perparitan tidak dapat menampung hujan lebat setempat dengan keamatan yang sangat tinggi. Banjir kilat juga boleh berlaku sekiranya sistem perparitan tersumbat akibat pembuangan sampah sarap ke dalam parit dan longkang.





0 Response to "Terowong SMART "

Post a Comment