Lokasi warga singapura membeli belah di Johor






Bandaraya Johor Bahru terus menjadi tempat tumpuan warga Singapura untuk membeli belah setiap kali menjelang musim perayaan dan sekaligus membantu meningkat ekonomi penduduk setempat.

Namun bagi penduduk tempatan timbul rasa kurang senang dengan kuasa membeli yang nyata berpihak kepada penduduk Republik itu.

Pertukaran mata wang dan pelbagai pilihan bagi persiapan menjelang raya menjadikan warga Republik itu mempunyai kuasa membeli berbanding penduduk tempatan.

Ini menyebabkan penduduk tempatan mendakwa harga barangan dijual dengan harga yang mahal kerana peniaga meletakkan harga barang dengan mensasarkan warga Singapura sebagai pembeli.

“Macam di Angsana ni, harga dia semacam tidak berpatutan. Macam baju atau kuih, memang berbezalah dengan tempat-tempat lain, warga Singapura kalau membeli dia semacam tidak kisah sangat sebab dia tahu duit kat sana mahal apabila beli kat sini lagi murah tapi kita penduduk Johor ni bagi kita memang harga terlalu tinggi lah dekat sini,” kata warga Johor Rokiah Mohamad.

Plaza Angsana dan bazar Ramadan di sekitar Johor Bahru yang menawarkan kepelbagaian barangan dengan harga yang rendah antara menjadi lokasi pilihan warga Singapura.

“Dari segi harga tentulah sebab pasal ia bergantung kepada kadar tukaran wang. Kalau tukaran tu tinggi baguslah, kalau tukaran itu rendah kita normal lah. Kalau tukaran rendah apa perlu kita datang ke Malaysia,” kata Hajah Bibah dari Singapura.

Seorang lagi warga Singapura, Yan Citra Ayu, berkata: “Sini murah dari segi matawangnya, Singapura harganya sikit mahallah berbandingkan di sini tetapi di sini kita banyak pilihanlah, setiap tahun kita datang sini. Bandingkan harga, sini lagi murah lah.”

Manakala bagi peniaga tempatan kedatangan warga jiran memilih bandaraya itu sebagai pusat membeli belah bagaikan durian runtuh apabila jualan harian mereka melebihi pendapatan hari biasa.

Peniaga tempatan Mohd Naharudin Isa kata faktor seperti pertukaran wang, hampir dengan Johor dan juga mungkin produk yang baik yang menyebabkan kunjungan daripada pembeli dari Singapura.

“Maksudnya dengan pusat membeli-belah yang besar dan selesa untuk pengunjung warga Singapura, masa hari pertama kedua puasa macam kurang. Selepas seminggu ni Alhamdullillah tak berhenti tiba maksudnya warganegara Malaysia pun dah mula datang dan warga Singapura, semuanya saling menyumbang rezeki”








0 Response to "Lokasi warga singapura membeli belah di Johor "

Post a Comment