Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah
DR Maza : Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah | Adab-adab berhubung dengan ibadat mestilah merujuk kepada apa yang ditunjuk ajarkan oleh Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ada sebahagian pihak yang cenderung untuk mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana itu boleh mengurangkan keletihan dan sekaligus menghilang kelebihan puasa.
Sedang di dalam hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
قَالَ الَّذِي حَدَّثَنِي لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعَرْجِ يَصُبُّ الْمَاءَ عَلَى رَأْسِهِ مِنَ الْعَطَشِ أَوْ مِنَ الْحَرِّ
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas”. Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas”.(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Apa yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran atau al-Sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadith:
Pertama: Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`d; Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi s.a.w. baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata al-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ianya menyanggahi ahli bid`ah yang berpendapat wajib melewatkannya. (al-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).
Kedua: Berbuka Puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ianya kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ianya mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahamd dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).
Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak.
Ini kerana ianya menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).
Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi s.a.w.
Ketiga: Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air; sekiranya makanan belum dihidangkan.
Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلَاةَ الْمَغْرِبِ وَلَا تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ianya sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith yang lain daripada `Abd Allah bin `Umar, baginda s.a.w. bersabda: \
إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ وَلَا يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Riwayat di atas juga menambah:
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ وَتُقَامُ الصَّلَاةُ فَلَا يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الْإِمَامِ
“Bahawa Ibn `Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan sedang beliau mendengar bacaan imam”.
Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: “Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat maghrib. Namun ianya juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).
Malangnya ada di kalangan yang kurang faham lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jamaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabah) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jamaah. (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).
Keempat: Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepat dengan firman Allah S.W.T.
(maksudnya) “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebih. Sesungguhnya Dia tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).
Di dalam hadith baginda s.a.w. menyebut:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan. (Riwayat al-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).
Hadith ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksima. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
Kelima: Berdo`a ketika berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w.:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak ditolak ketika dia berbuka.
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur‘ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur‘ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).
Maka kita boleh berdo`a dengan apa sahaja do`a yang kita hajati. Do`a orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut: Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota” (Faidh al-Qadir, 2/500).
Di sana ada do`a yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Adalah RasululLah s.a.w apabila berbuka, baginda bersabda: “Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insyaAllah”. (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)
Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya hendaklah merebut peluang do`a yang makbul ketika dia berbuka.
Keenam: Berdo`a kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ
“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa disisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat”.(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ianya sahih 5/158).
Maka berdo`alah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Demikian saya senaraikan antara adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semuga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
Demikian saya senaraikan antara adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semuga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
SUMBER : http://drmaza.com/home/?p=58
0 Response to "DR Maza : Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah"
Post a Comment